Saturday 9 April 2011

Langkah Mengatasi Vandalisme

Selepas mencapai kemerdekaan selama kira-kira lima puluh dua tahun, pencapaian negara ini dari sudut pembangunan dan pemodenan amat ketara dan agak setanding dengan beberapa buah negara membangun di dunia. Namun begitu, pada zaman ledakan teknologi maklumat yang penuh dengan pancaroba ini, kita kerap pula berhadapan dengan masalah gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak rakyat Malaysia dan sekaligus boleh mencemarkan imej negara di persada antarabangsa. Antara gejala yang dimaksudkan dan boleh membawa impak negatif yang serius kepada negara ialah vandalisme. Untuk itu, sebagai negara yang sedang mengorak langkah ke gerbang globalisasi kita perlu melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk membanteras gejala yang kian menular ini sebelum menjadi wabak yang parah.
Salah satu langkah yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Melalui kempen sebegini, seluruh golongan rakyat perlu mengubah sikap dan pemikiran seterusnya bersatu membentuk satu masyarakat yang tinggi tahap ketamadunannya. Seluruh rakyat malaysia perlu berusaha menanam kesedaran dalam diri agar sentiasa bersyukur atas segala kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan, seterusnya memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat sejagat, sentiasa dalam keadaan yang terpelihara dan mudah guna.
Di peringkat sekolah, keburukan gejala sosial seperti vandalisme perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, setiap pelajar akan menyuburkan perasaan kasih sayang mereka kepada tanah air. Setiap warganegara Malaysia yang patriotik pastinya tidak akan melakukan apa-apa sahaja perbuatan yang akan mencacatkan imej negara tercinta.
Disingkap dari perspektif lain,ibu bapa juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Dalam usaha memburu kejayaan dan mengumpulkan kekayaan, ibu bapa tidak wajar melupakan tanggungjawab dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang berbudi luhur dan berdisiplin. Ibu bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka itu perlu memastikan bahawa anak-anak akan menjauhi kancah sosial, seperti vandalisme. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang sempurna kerana insan yang bertakwa kepada Tuhan akan menjauhi aktiviti yang membawa kesan buruk kepada diri sendiri. Didikan sebegini sewajarnya diberikan sejak zaman kanak-kanak umpama melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Disamping itu, setiap individu perlu memainkan peranan bagi mengelakkan diri sendiri daripada terjebak dalam gejala vandalisme. Di peringkat sekolah, pelajar perlu bijak memilih rakan supaya tidak terpengaruh oleh ajakan negatif. Dalam rumah tangga pula, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada dengan betul kerana anak-anak akan mencontohi perbuatan dan gelagat ibu bapa. Sementara itu anggota masyarakat pula harus menegur setiap perilaku atau perbuatan yang menjurus kepada angkara vandalisme.
Secara tuntasnya, peranan semua warganegara amat dituntut untuk bersama-sama memastikan gejala vandalisme tidak terus dilakukan oleh sesiapa sahaja demi keamanan dan kesejahteraan. Jika perkara ini dapat benar-benar direalisasikan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihuni oleh penduduk yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi serta sentiasa bertatasusila menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment