Saturday 9 April 2011

Poster Vandalisme

Terima kasih kepada Amir kerana melukis poster ini untuk projek Khidmat Masyarakat kami.

Langkah Mengatasi Vandalisme

Selepas mencapai kemerdekaan selama kira-kira lima puluh dua tahun, pencapaian negara ini dari sudut pembangunan dan pemodenan amat ketara dan agak setanding dengan beberapa buah negara membangun di dunia. Namun begitu, pada zaman ledakan teknologi maklumat yang penuh dengan pancaroba ini, kita kerap pula berhadapan dengan masalah gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak rakyat Malaysia dan sekaligus boleh mencemarkan imej negara di persada antarabangsa. Antara gejala yang dimaksudkan dan boleh membawa impak negatif yang serius kepada negara ialah vandalisme. Untuk itu, sebagai negara yang sedang mengorak langkah ke gerbang globalisasi kita perlu melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk membanteras gejala yang kian menular ini sebelum menjadi wabak yang parah.
Salah satu langkah yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan mengadakan pelbagai kempen kesedaran. Melalui kempen sebegini, seluruh golongan rakyat perlu mengubah sikap dan pemikiran seterusnya bersatu membentuk satu masyarakat yang tinggi tahap ketamadunannya. Seluruh rakyat malaysia perlu berusaha menanam kesedaran dalam diri agar sentiasa bersyukur atas segala kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh pihak kerajaan, seterusnya memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan rakyat sejagat, sentiasa dalam keadaan yang terpelihara dan mudah guna.
Di peringkat sekolah, keburukan gejala sosial seperti vandalisme perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, setiap pelajar akan menyuburkan perasaan kasih sayang mereka kepada tanah air. Setiap warganegara Malaysia yang patriotik pastinya tidak akan melakukan apa-apa sahaja perbuatan yang akan mencacatkan imej negara tercinta.
Disingkap dari perspektif lain,ibu bapa juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Dalam usaha memburu kejayaan dan mengumpulkan kekayaan, ibu bapa tidak wajar melupakan tanggungjawab dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang berbudi luhur dan berdisiplin. Ibu bapa yang sedar akan tanggungjawab mereka itu perlu memastikan bahawa anak-anak akan menjauhi kancah sosial, seperti vandalisme. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang sempurna kerana insan yang bertakwa kepada Tuhan akan menjauhi aktiviti yang membawa kesan buruk kepada diri sendiri. Didikan sebegini sewajarnya diberikan sejak zaman kanak-kanak umpama melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Disamping itu, setiap individu perlu memainkan peranan bagi mengelakkan diri sendiri daripada terjebak dalam gejala vandalisme. Di peringkat sekolah, pelajar perlu bijak memilih rakan supaya tidak terpengaruh oleh ajakan negatif. Dalam rumah tangga pula, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada dengan betul kerana anak-anak akan mencontohi perbuatan dan gelagat ibu bapa. Sementara itu anggota masyarakat pula harus menegur setiap perilaku atau perbuatan yang menjurus kepada angkara vandalisme.
Secara tuntasnya, peranan semua warganegara amat dituntut untuk bersama-sama memastikan gejala vandalisme tidak terus dilakukan oleh sesiapa sahaja demi keamanan dan kesejahteraan. Jika perkara ini dapat benar-benar direalisasikan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihuni oleh penduduk yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi serta sentiasa bertatasusila menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan.

Video Vandalisme

Pelajar sedang melakonkan situasi vandalisme di sekolah mereka.
http://www.youtube.com/watch?v=QBNsKlxXZyo

Suntingan Akhbar

Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina kemudahan awam seperti tandas awam, tempat menunggu bas, tempat permainan dan gerai makan untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai.
Ia adalah harta awam dan hak milik bersama semua rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat menjaga dan memastikan keadaannya sempurna. Kegiatan merosakkan hak milik awam atau vandalisme adalah perbuatan khianat yang semakin berleluasa.
Sekiranya tiada usaha konkrit untuk membendung perilaku ini ia akan menjadi beban kepada rakyat dan kerajaan. Kerajaan akan memungut cukai daripada rakyat untuk membina berbagai kemudahan yang disediakan.
Semakin tinggi peruntukan disediakan semakin banyak cukai perlu dibayar oleh rakyat. Cukai yang dipungut ini akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk kemudahan yang disediakan.
Untuk memastikan kemudahan awam yang disediakan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi adalah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan ia dalam keadaan sempurna.
Vandalisme bukan saja menyusahkan masyarakat kerana ia tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan, tetapi membebankan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana terpaksa membaiki dan membina semula kemudahan yang rosak. Perbelanjaan membaiki dan membina semula kerosakan akan memberi kesan peruntukan perbelanjaan PBT.
Meningkatkan kos menyelenggara akan memberi kesan kepada kurangnya peruntukan untuk membina kemudahan awam yang baru. Peruntukan yang rendah akan menyebabkan kurangnya kemudahan awam yang dapat disediakan dan ini merugikan orang ramai. Vandalisme perlu dibendung dan dihentikan.Tetapi siapa perlu mengambil tanggungjawab ini?
Kerugian akibat vandalisme yang direkodkan, pada 2000 yang dialami oleh Projek Usahasama Transit Automatik Sdn Bhd (PUTRA) ialah RM354,550, Telekom Malaysia RM722,200, Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL RM109,500 dan Polis Diraja Malaysia RM78,797. Bayangkan sekiranya kerugian ini direkodkan oleh semua PBT dan jumlah ini boleh digunakan untuk membina pelbagai kemudahan lain.
Perbuatan vandalisme adalah masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Masalah ini mempunyai hubungkait dengan masalah ego dan me-isme atau pentingkan diri sendiri. Vandalis akan berasa puas hati apabila merosakkan sesuatu dan mereka tidak berasa berdosa melakukan perkara itu.
Ini kerana sifat me-isme dalam diri mereka amat tebal. Mereka tidak berasa malu dengan perbuatan itu. Vandalis adalah orang yang rendah tamadunnya. Ini amat berbeza dengan mereka yang bertamadun tinggi kerana mereka menghargai dan mengutamakan persekitaran yang tertib, suasana pemandangan indah dan ketinggian seni dan budaya.
Kegagalan masyarakat membendung perbuatan vandalisme itu sendiri membayangkan bahawa masyarakat itu turut mempunyai masalah. Walaupun, jika masyarakat sekeliling mempunyai kesedaran pentingnya hak awam dipelihara, oleh kerana kurangnya kerjasama di antara masyarakat dan tingginya sifat pentingkan diri sendiri atau me-isme ini memberikan kesan buruk kepada masyarakat.
Sifat me-isme perlu dihapus segera. Sekiranya sifat ini dibiarkan tertanam dalam diri sesuatu masyarakat dan menjadi budaya dalam masyarakat itu ianya bukan saja menyebabkan tiada sifat kerjasama, tetapi juga masing-masing tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Mereka hanya menjaga harta, tetapi bukan hak bersama. Sifat me-isme perlu dibendung tapi bagaimana? Pelakuan merosakkan harta awam tidak terhad di bandar saja, tetapi ia berlaku di mana-mana. Ia juga terhad kepada golongan remaja, malah ia dilakukan oleh murid sekolah.
Laporan statistik mencatatkan kerugian akibat vandalisme di sekolah menengah bagi pertengahan 2000 ialah RM40,446 yang membabitkan perbuatan merosakkan peralatan seperti meja, kerusi, pagar dan tandas. Perbuatan ini juga dilaporkan di sekolah rendah yang membabitka murid-murid berumur di bawah 12 tahun. Kerugian yang dicatatkan ialah RM31,384.00 bagi tempoh Januari-Julai 2000.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan menyediakan bebrapa program meningkatkan kesedaran orang ramai.
Kempen anti-vandalisme dengan slogan Hak Awam Hak Bersama akan dilancarkan. Kempen ini membawa mesej keperibadian kita (masyarakat) yang menentukan kepentingan harta awam yang menjadi hak bersama.
Dengan kata lain, masyarakat sendiri akan menentukan apa keperibadian mereka.
Rendah atau tingginya kperibadian masyarakat akan ditentukan oleh perilaku mereka. Oleh itu, kempen ini diadakan bertujuan untuk melahirkan kesedaran masyarakat pentingnya harta awam dan mereka perlu memainkan fungsi menjaga harta awam.
Program kesedaran ini perlu disokong sepenuhnya oleh PBT. Ini kerana PBT mempunyai hubungkait secara lansung dengan harta awam. PBT bertanggungjawab membina dan menyelenggara kemudahan awam. Usaha ke arah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi menghukum vandalis perlu diberi perhatian sewajarnya.
Di sampng itu, fungsi NGO dan media massa juga amat diperlukan bagi menyampai dan menghebahkan maklumat berkaitan dengan kesedaran masyarakat berhubung dengan vandalisme.
Bagi memastikan kempen ini berjaya, PBT, NGO, media massa serta persatuan penduduk perlu mengemblengkan tenaga ke arah membanteras vandalisme.